SIBU, 12 Mac: Enam lot kedai yang berusia lebih 60 tahun musnah dalam kebakaran di Jalan Market di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ZON 4 Sibu, Penguasa Kanan (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 2.28 pagi sebelum 29 anggota dari tiga buah balai digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba di lokasi pada jam 2.30 pagi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan bangunan kedai dua tingkat separuh kekal.
“Ketika pasukan pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral tiba di lokasi mendapati api sedang marak dengan kepulan asap tebal di mana kebakaran melibatkan deretan kedai dua tingkat separuh kekal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pasukan pemadam BBP Sibu Sentral telah bertindak secara ’offensive dan defensive’ dengan tindakan awal membentang satu aliran bantu mula dan seterusnya membahagikan kepada dua pasukan pemadam kepada dua bahagian iaitu dua aliran empat pancutan air dari pili bomba ke pam jentera.
“Pasukan balai bantuan dari BBP Sungai Merah pula menggunakan dua aliran ‘breeching’ empat pancutan dan BBP Sibujaya menggunakan aliran dua pancutan untuk mengelak api daripada merebak,” jelasnya.
Katanya, kebakaran tersebut telah menyebabkan lot kedai No. 2 hingga No. 6 terbakar 100 peratus manakala lot kedai No. 7 hanya 10 peratus terbakar.
“Tindakan pantas anggota bomba yang terlibat dalam operasi pemadaman telah berjaya menyelamatkan empat buah lot kedai iaitu lot No. 1, No. 8, No. 9 dan No. 10,” katanya.
Andy berkata, anggaran keluasan yang terbakar adalah 100×170 kaki persegi dan insiden itu tiada melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa
Katanya, operasi pemadaman selesai pada jam 9.49 pagi, punca dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM Zon 4 Sibu. -TVS