KUCHING, 12 Mac: Kumpulan Kerja Warisan dan Pemuliharaan Saintifik Sarawak Delta Geopark (SDGp) akan menganjurkan ekspedisi Sarawak Delta Geopark mulai 20 hingga 26 Mac ini.
Menerusi satu kenyataan SDGp memaklumkan, ekspedisi tersebut akan diadakan di kawasan Bau dan Padawan.
“Ekspedisi ini merupakan julung kalinya diadakan selepas SDGp diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan, dan ia melibatkan pelbagai agensi di bawah tadbir urus SDGp.
“Seramai 81 orang peserta yang terdiri penyelidik, pakar-pakar dalam bidang kajian masing-masing, NGO dan komuniti akan turut bersama-sama pada ekspedisi itu nanti.
“Selain itu, ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam persediaan Sarawak Delta Geopark bagi pencalonan ke UNESCO Global Geopark pada 2024 kelak,” kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, SDGp telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan keenam oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 20 Jun 2022.
SDGp mempunyai keluasan 311,246 hektar meliputi kawasan daratan dan air mewakili kesatuan warisan geologi, biologi dan budaya istimewa yang terdapat di Daerah Kuching, Bau, Padawan, dan Siburan.
Turut berlangsung adalah pameran seperti maklumat, destinasi dan produk pelancongan yang ada di Bau dan Padawan.
“Kita juga akan mengadakan jualan kraftangan (GeoCraft), produk makanan (GeoFoods) dan produk kebudayaan dan warisan (GeoCulture & GeoHeritage),” tambah kenyataan itu.
Ekspedisi SDGp akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh pada 20 Mac ini di Dewan Suarah Bau. -TVS