SIBU, 12 Mac: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menggesa lebih banyak Program Literasi dilaksanakan di Sarawak bagi meningkatkan kadar celik huruf di negeri ini.
Menurut beliau, Program Literasi bukan sahaja boleh meningkatkan kadar celik huruf di Sarawak, malah juga memberi peluang kedua kepada golongan buta huruf demi masa depan mereka.
Jelasnya, melalui program sebegini yang dijalankan bukan sahaja di bandar, malah juga di kawasan luar bandar, mampu memastikan kanak-kanak dapat belajar membaca dan juga menawarkan kepada warga emas yang tidak berpeluang untuk bersekolah.
“Dari segi statistik yang saya bacakan tadi iaitu dari Malaysia dan Sarawak, pada tahun 2010 ialah 92 peratus (Sarawak) lebih rendah dari kebangsaan 93.5 peratus. Maknanya kita di Sarawak masih perlu menjalankan Program Literasi dewasa ini sama ada oleh pihak Pustaka atau pihak KEMAS dan lain.
“Ia memang sangat dialu-alukan sebab membaca itu jambatan ilmu dan membaca memberi satu keyakinan diri kepada seorang,” jelas beliau ketika ditemui media di Bengkel Train The Trainer: Program Literasi Orang Dewasa di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menyeru agar golongan buta huruf untuk tampil tanpa mengira usia dan mengunakan peluang yang ada sekiranya program tersebut dijalankan di kawasan mereka.
“Bukan mudah untuk seseorang yang tidak pandai membaca yang berusia untuk tampil ke hadapan untuk belajar membaca sebab ada perasaan malu.
“Tapi sebenarnya yang kita nak terangkan dalam kelas literasi dewasa ini, oleh kerana tidak berpeluang bersekolah jadi tidak pandai membaca, jadi sekarang bila ada peluang tersebut jangan rasa malu, jangan rasa rendah diri sebab bukan salah dia sebab keadaan, beliau tidak berpeluang,” ujarnya lagi. –TVS