KUCHING, 12 Mac: Aktiviti ‘glamping’ mampu menggalakkan belia bukan sahaja untuk mengamalkan budaya sihat tetapi juga turut memberi kesedaran mengenai kebersihan alam sekitar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat berkata, aktiviti sama juga berupaya meningkatkan inovasi dan kreativiti golongan belia untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.
Menurutnya, manfaat peluang peniagaan yang boleh wujud menerusi aktiviti tersebut seperti membekalkan peralatan perkhemahan serta penyediaan tapak untuk penganjuran aktiviti sedemikian.
“Kita lihat program ini menampakkan satu kecenderungan kreativiti belia dan juga satu kegiatan yang begitu baik sekali dari segi pendedahan inovasi serta pendedahan kepada bidang keusahawanan, contohnya Pro Outdoor Tent dan yang lain itu merupakan satu peluang peniagaan yang dipelopori oleh usahawan muda.
“Bagi kita di Myseed amat mengalu-alukan program ini di mana saja di seluruh negeri Sarawak iaitu di lokasi yang sesuai,” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi Kuching Youth Glamping Festival 2022 di tempat letak kereta Pasaraya AEON di sini, malam tadi.
Beliau berkata, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak sentiasa terbuka untuk menyokong mana-mana persatuan atau pertubuhan belia yang berminat untuk melaksanakan program seumpama itu.
Program sebegitu kata beliau, bertindak ibarat serampang dua mata dalam membina keupayaan untuk mencuba sesuatu yang baharu dan semangat keusahawanan di kalangan belia.
Dr. Ripin dalam pada itu tidak menolak jika terdapat cadangan untuk mengadakan atau menganjurkan program sumpama itu dalam skala yang lebih besar.
“Kita boleh bawa (cadangan) kepada yang berhormat menteri supaya kita adakan program yang lebih besar sebegini dan nanti kita akan adakan perbincangan lebih lanjut dengan penganjur serta pihak kementerian termasuklah Sarawak Tourism Board (STB).
“Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada aktiviti pelancongan sama ada pelancongan domestik atau nasional kerana pelancongan dan peniagaan sentiasa mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya.
Kuching Youth Urban Glamping Festival dianjurkan oleh Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping yang diadakan bermula 11 hingga 12 Mac merupakan yang pertama diadakan di Sarawak. -TVS