Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub. Foto: Website KPDN

105 premis makanan di Sabah sertai inisiatif Menu Rahmah

ByTVS

KOTA KINABALU, 12 Mac: Sebanyak 105 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah di seluruh Sabah setakat hari ini.

Difahamkan, lebih dari 1,531 premis perniagaan juga telah mendaftar dalam melaksanakan inisiatif tersebut di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, hari ini telah melakukan Jelajah Menu Rahmah di Kota Kinabalu, Sabah, sekali gus melancarkan inisiatif Menu Rahmah peringkat Kota Kinabalu di Restoran BTC Bistro Inanam.

“Berdasarkan maklum balas daripada peniaga yang telah menyertai inisiatif ini, Menu Rahmah telah dijadikan model perniagaan Daya Penarik Pelanggan untuk menarik pelanggan ke premis mereka.

“Dengan itu pendapatan mereka dapat ditingkatkan melalui kuantiti jualan yang dapat menampung pengurangan margin dan pada masa yang sama turut bersama-sama dalam usaha kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam membantu mempromosi premis yang menyediakan menu ini, sehubungan dengan itu, KPDN telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu Rahmah yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.,” katanya.

Menu Rahmah adalah inisiatif terbaru kerajaan yang telah tular dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga melakukan sesi tinjauan mesra di Pasar Besar Kota Kinabalu turut meninjau tahap pematuhan peniaga ke atas penentuan harga maksimum bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam (PHMAT).

Beliau turut memantau keberadaan bekalan barang-barang perlu dan kedudukan harga semasa bagi persediaan menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba.

“Menjelang sambutan bulan Ramadan, Pegawai-Pegawai Penguatkuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Menurut Salehuddin, langkah-langkah ini juga mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.

“KPDN Sabah telah melantik 170 peruncit daerah terpilih (DDR – Dedicated District Retailer) dan 89 pemborong daerah terpilih (DDW – Dedicated District Wholesalers) di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di Sabah.

“Kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang di lantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan.

“Untuk rekod, sepanjang bulan Januari hingga 11 Mac 2023 sebanyak 16,285 premis telah diperiksa di seluruh Sabah,” katanya.

Salehuddin berkata, daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 304 kes telah dihasilkan melibatkan pelbagai akta dibawa perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN dengan nilai kompaun sebanyak RM47,200 dan nilai rampasan sebanyak RM1,050,392.

“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri restoran, makanan dan peruncitan di negeri Sabah supaya bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan