BINTULU, 11 Mac: Tiga bot berkuasa tinggi musnah dalam kebakaran ketika berlabuh di jeti Kampung Sinong di sini, tengah malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba 1, Christus Buson berkata, pasukan BBP Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemadaman.
Katanya, sepasukan 13 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 12.21 tengah malam.
“Setiba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan tiga bot dengan enjin 200 kuasa kuda terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian bertindak menggunakan empat tong busa (foam) untuk memadam kebakaran tersebut.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa. Api berjaya dipadamkan oleh pasukan operasi pada 1.10 pagi.
Menurut Christus, punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Jika forensik mengesahkan punca kebakaran disebabkan perbuatan sengaja, siasatan lanjut akan diserahkan kepada polis,” jelasnya.