Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri pada Program Wanita Bangkit@KPWKM di Kota Kinabalu, hari ini. Foto: Nancy Shukri (Facebook)

Program Wanita Bangkit@KPWKM berjaya tingkatkan pendapatan peserta

ByTVS

KOTA KINABALU, 11 Mac: Seramai 14,770 wanita atau 90 peratus peserta Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital berjaya meraih pendapatan RM1,000 sebulan berbanding RM500 sebelum menyertai program.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, 10 peratus pula berjaya mendapat peningkatan pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Menurutnya, seramai 18,250 wanita telah menyertai program keusahawanan itu yang diberikan modal perniagaan, bimbingan dan motivasi serta dihubungkan dengan perniagaan daripada mentor-mentor berpengalaman yang juga rakan strategik kementerian.

“Sejak menerajui KPWKM dan sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dari Januari 2023 hingga hari ini seramai 3,480 orang peserta telah menghadiri kursus Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital yang meliputi peserta dari seluruh negara,” katanya pada Program Wanita Bangkit@KPWKM My Kasih Kapital di sini, hari ini.

Katanya, program berkenaan mendapat permintaan tinggi sehingga jumlah peserta untuk menyertainya terpaksa ditambah sekali gus membuktikan wanita mempunyai semangat untuk mengubah hidup agar menjadi lebih baik.

Nancy berkata, Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital adalah bantuan kepada golongan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19 untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil di dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang tidak termasuk di bawah skim disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Program ini bertujuan memperkasa ekonomi kumpulan sasar khususnya wanita dengan mengoptimumkan potensi individu berdasarkan bidang kemahiran mereka agar tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya.

“Peserta MyKasih Kapital akan dinilai, dipantau dan mengikuti kursus oleh jabatan atau agensi kerajaan seperti INSKEN, PERKESO serta perkongsian pengalaman dan tips daripada usahawan berjaya bagi mempersiapkan diri para peserta menceburi bidang perniagaan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan