Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berucap pada malam gala bersempena Hari Pembantu Perubatan 2023 peringkat negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada malam semalam. Foto; TVS.

Penolong Pegawai Perubatan diseru tingkatkan ilmu

SIBU, 11 Mac: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee menyeru agar Penolong Pegawai Perubatan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memperkasakan profesion.

Jelas beliau hal ini perlu dilakukan seiring dengan perkembangan dan kemajuan dunia perubatan dan kesihatan yang semakin pesat dan canggih dari pelbagai segi seperti penggunaan teknologi baru, ubat-ubatan moden dan sebagainya.

Malah katanya evolusi penyakit dan penemuan virus serta varian baharu dalam COVID-19 misalnya menjadikan keperluan untuk mencari kaedah dan remedi terbaik menjadi keutamaan.

“Dalam konteks ini, maka ilmu dan kemahiran perlu ditingkatkan, tindakan perlu lebih dinamik, pendekatan perlu lebih berkesan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat menjadikan mereka sihat dan sejahtera,” ujarnya ketika merasmikan Malam Gala Bersempena Hari Pembantu Perubatan 2023 Peringkat Negeri Sarawak di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Hospital Sibu, Dr. Nanthakumar Thirunavukkarasu dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr. Teh Jo Hun.

Bertemakan ‘Bakti Mulia: Profesion Diperkasa, Masyarakat Sejahtera’ Hari Pembantu Perubatan 2023 Peringkat Negeri Sarawak yang dianjurkan telah disambut dengan meriah dan disertai oleh pembantu perubatan dari seluruh Sarawak.

Ming Tee berkata lagi, Hari Pembantu Perubatan pada 10 Mac adalah satu pengiktirafan dan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan pembantu perubatan kepada negara.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur dan semua yang terlibat kerana telah berjaya menganjurkan acara-acara ini. Hari Pembantu Perubatan yang diadakan pada 10 Mac setiap tahun ini pasti membawa banyak pengertian kepada mereka yang bergelar penolong pegawai perubatan,” katanya.

Tambah beliau lagi skop kerja sebagai seorang pembantu perubatan adalah sangat luas oleh itu ia sudah pasti merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul.

Terutama ketika wabak COVID-19 melanda negara, pembantu perubatan telah menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi dan menjadi benteng barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi wabak tersebut.

“Ada yang berjauhan dari keluarga dan menempuh ketidakselesaan hidup, nyawa sendiri menjadi taruhan. Ini juga merupakan bakti mulia yang telah tuan-tuan dan puan-puan berikan kepada masyarakat. Saya pasti masyarakat yang tuan-tuan dan puan-puan pernah bantu dan lindungi ini akan mengingati jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan