KUCHING, 11 Mac: Pembabitan masyarakat dalam pelbagai program penyelamatan dan pencegahan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat membantu persiapan dalam menghadapi bencana.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat memainkan peranan penting dengan mengadakan program yang membekalkan ilmu dan maklumat berguna kepada masyarakat.
“Dalam keadaan genting, masyarakat sudah bersiap siaga dan mempunyai pengetahuan dalam melakukan pencegahan dan penyelamatan sementara menunggu pasukan Bomba dan Penyelamat datang,” katanya ditemui pada majlis perasmian Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, Datu Khirudin Drahman dan pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superitenden Merbin Lisa.
Fadillah turut menyatakan penghargaan atas pengorbanan anggota Bomba dan Penyelamat yang begitu gigih melaksanakan tugas dan amanah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat walaupun jumlah keanggotaan dan peralatan yang diperlukan masih belum mencukupi,” katanya.
Program Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 diadakan selama lima hari, bermula 5 Mac. Menerusi program itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan latihan asas kebombaan kepada orang awam di sekitar Petra Jaya.
Bomba Komuniti Petra Jaya mempunyai keahlian 875 orang. – TVS