KUCHING, 11 Mac: Empat rumah di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa di sini dinaiki air pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuching, rumah berkenaan turut terputus hubungan apabila air mula naik pada 6 pagi bagaimanapun mula surut pada 9.50 pagi.
“Pemantauan dari masa ke semasa akan dilakukan di kawasan terjejas banjir,” kata kenyataan itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata tidak ada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 10 pagi ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sarawak hingga esok.
MetMalaysia, dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan itu diramal berlaku di Kuching, Serian dan Samarahan.
Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam di sesuatu kawasan. – TVS