KUCHING, 11 Mac: Bantuan penggantian peralatan yang rosak atau hilang akibat banjir besar di Johor bakal disalurkan kepada pekebun kecil industri komoditi yang telah dikenal pasti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata semua pemain industri yang terlibat dalam industri komoditi disaran bersiap siaga dalam mendepani risiko ekoran musim tengkujuh yang melanda ketika ini.
“Di peringkat agensi di bawah kementerian, kita akan bekerjasama dengan syarikat besar industri untuk mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu pekebun kecil dengan menggantikan peralatan perladangan yang hilang dengan yang baharu.
“Pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan akan disalur untuk memastikan mana-mana pekebun kecil yang terjejas dapat kembali beroperasi pasca banjir,” katanya ditemui pada majlis perasmian Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, Datu Khirudin Drahman dan pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superitenden Merbin Lisa.
Fadillah turut berharap agar amalan pertanian yang baik dipraktikkan susulan faktor utama industri komoditi hadapi seperti cuaca, penyakit terhadap tumbuhan dan kesan aktiviti manusia.
“Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita perlu mengambil langkah mempraktikkan amalan pertanian yang baik dari segi pembajaan dan penjagaan kelapa sawit,” katanya. – TVS