Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli-ahli Parlimen selepas sesi penggulungan Belanjawan 2023 pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto: Bernama

Sasaran pengurangan defisit fiskal negara mampu dilaksanakan – Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sasaran pengurangan defisit fiskal negara kepada lima peratus pada 2023 dan 3.2 peratus pada 2025 mampu dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tidak wujud pertikaian terhadap sasaran pengurangan defisit fiskal negara itu berdasarkan perkembangan semasa selepas pembentangan Belanjawan 2023.

“Jika diteliti perkembangan selepas pembentangan belanjawan dengan hasil minyak yang bertambah, (perolehan) US$1.8 bilion daripada International Petroleum Investment Co (IPIC) serta pelaburan besar termasuk daripada Amazon Web Services dan Tesla, sudah tidak akan pertikai.

“Saya pernah lalui proses ini selama lapan tahun, pengalaman itu akan mengajar saya untuk mengurangkan defisit dan ini sesuatu yang mampu kita laksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Anwar, berdasarkan angka terbaru yang beliau peroleh, defisit fiskal negara sudah mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Bagaimana kita kurangkan? Itu adalah langkah-langkah yang telah kita ambil dan bincangkan. Kalau perlu saya akan umumkan di Parlimen dari semasa ke semasa,” katanta.

Anwar berkata antara langkah jangka panjang dan sederhana yang akan dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuhkan kedudukan fiskal negara termasuklah memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal, Cukai Barang Mewah serta Cukai Keuntungan Modal.

Bagaimanapun, beliau berkata mekanisme pelaksanaan cukai baharu itu masih dalam perbincangan dan tidak akan membebankan pengguna sehingga ke tahap yang tidak kompetitif.

“Kita akan pastikan rundingan (pelaksanaan cukai) itu diteliti dengan semua pihak dan supaya ia tidak memberikan beban kepada pemodal,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan keperluan untuk menyokong golongan usahawan dan peniaga di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2023 melalui peruntukan khas kepada komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kerajaan akan menyediakan peruntukan khusus untuk komuniti PKS Sabah dan Sarawak dalam bentuk dana pinjaman mikro melalui bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM100 juta, dan kemudahan jaminan pinjaman PKS dari bank sebanyak RM500 juta,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan