KUCHING, 10 Mac: Matlamat sifar pelepasan gas rumah hijau merupakan intipati ucaptama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023.
Menerusi persidangan yang diadakan di sini pada 15 dan 16 Mac, beliau turut dijangka akan berbicara tentang amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pemuliharaan dan kemampanan hutan berkaitan pengimbangan karbon.
Baca artikel berkaitan>>> Kuching tuan rumah Persidangan Karbon Asia 2023
Place Borneo dalam kenyataan hari ini berkata, Abang Johari dijangka merasmikannya pada hari pertama persidangan yang dianjurkan Argus Media dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan ditaja Kumpulan Samling dan disokong oleh Business Events Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad.
Selain itu, penceramah utama termasuk Ketua Projek Karbon di SaraCarbon Francois Blignaut yang akan membincangkan kajian kes membangunkan dan melancarkan projek Voluntary Carbon Offset (VCO) berasaskan alam semula jadi di Asia.
Segmen akhir ACC 2023 akan memberi tumpuan khusus terhadap penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dengan perbincangan mengenai perkembangannya di Sarawak, bagaimana pelabur dan pemaju boleh membina industri CCUS yang mampan, menganalisis prospek projek CCUS di Asia.
Persidangan dua hari itu akan menampilkan pakar dari lebih sembilan negara yang akan berkongsi pandangan tentang rangka kerja pengawalseliaan mengenai pasaran karbon serta masa depan pasaran karbon Asia Pasifik, termasuk perbincangan tentang kepentingan inisiatif karbon dalam mengurus iklim. – TVS