KUALA LUMPUR, 10 Mac: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta, dibenarkan diikat jamin RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Baca artikel berkaitan > > > Muhyiddin tiba di mahkamah berdepan pertuduhan
Azura turut menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mencadangkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin bersetuju dengan jumlah jaminan dan syarat tambahan itu.
Pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat, Nor Asma Ahmad, Rasyidah Murni Azmi, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.
Muhyiddin turut diwakili peguam Datuk Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.
Muhyiddin, 75, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Terdahulu pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang memakai sut lengkap berwarna gelap itu tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard pada 8.40 pagi ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. – TVS