Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awang Tengah bersama Ir. Aidel pada lawatan ke tapak projek Hospital Lawas baharu. Foto: Idris Edrews

Kontraktor digesa siapkan Hospital Lawas, tempoh lanjutan tidak dibenarkan – Awang Tengah

LAWAS, 10 Mac: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa pihak kontraktor mempercepatkan kerja pembinaan Hospital Lawas serta tempoh siap ditetapkan menjelang Disember tahun depan.

Bertegas tanpa kompromi beliau tidak membenarkan lagi tempoh pembinaan dilanjutkan selepas ketetapan tersebut susulan tempoh sebelum ini terlalu lama.

Selain itu beliau menyatakan beberapa kelonggaran sudah diberi semasa pandemik COVID-19 dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu.

Foto: TVS

“Tidak akan tertangguh lagi, (pembinaan hospital), tapi saya yakin kontraktor akan komited untuk memastikan projek hospital disegerakan,” ujarnya pada Lawatan Kerja Ke Tapak Projek Pembinaan Hospital Baru Lawas pada Khamis.

Turut sama Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak Ir. Aidel Lariwoo, Residen Limbang Yunus Tambi dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.

Projek Hospital Lawas tiada lanjutan tempoh pelaksanaan

Justeru  itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Dua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak mahu semua pihak terlibat khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan melakukan pemantauan rapi, selain komitmen kontraktor dan pihak konsultan untuk bekerjasama bagi memastikan projek ini dapat disiapkan awal.

Beliau menegaskan hospital berkenaan amat penting kepada seluruh penduduk Lawas yang telah sekian lama menunggu projek itu siap.

“Kita telahpun minta pihak JKR Persekutuan untuk memantau perkembangan pembinaan hospital ini.”

“Pihak kontraktor juga akan mengemukakan pelan-pelan tindakan mereka bagaimana untuk memastikan hospital ini dapat disiapkan lebih awal seperti apa yang diperjuangkan supaya ia dapat beroperasi.”

“Tidak lah kita nak tunggu sampai Disember 2024 dan projek ini begitu penting, ini adalah hasrat masyarakat Lawas daripada dahulu lagi,”katanya lagi.

Difahamkan Hospital Lawas baharu tersebut mula dibina 30 Jun 2020 dan dijangka siap pada Disember 2023 sebelum dilanjutkan tempoh hingga 11 Disember 2024.

Hospital berkenaan bakal menempatkan sebanyak 76 katil dengan pelbagai kemudahan moden untuk kakitangan dan pesakit yang menerima rawatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan