KOTA KINABALU, 10 Mac: Anak kelahiran Ranau, Sabah, Prof. Dr. Justin Sentian menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjalankan penyelidikan musim sejuk selama enam bulan di Stesen Pangkalan Profesor Julio Escudero di Pulau King George, Antartika.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat Sabah berbangga susulan Dr Justin akan mengibarkan bendera Sabah dan negara sepanjang tempoh program berkenaan yang bermula 15 Mac ini.
“Ia amat bermakna dan saya pasti semua rakyat Sabah dan Malaysia akan berbangga dengan Prof Dr Justin Sentian, semoga berjaya,” katanya selepas menyerahkan bendera negeri kepada Dr Justin di Menara Kinabalu di sini, pada Jumaat.
Saintis atmosfera kutub dari Fakulti Sains dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu akan menjalankan penyelidikannya bertajuk “Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau”.
Dr. Justin dalam pada itu berkata, Antartika adalah titik yang baik dan tepat untuk memerhatikan perubahan iklim kerana variasi di sana akan memberi kesan rama-rama di seluruh dunia.
“Saya berbangga untuk berkongsi peluang hebat ini sebagai saintis Malaysia pertama yang membawa bendera kita ke Antartika.
“Saya berharap simbolik ini akan memberi motivasi kepada penyelidik lain khususnya generasi muda di Sabah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang, khususnya sains,” katanya.
Penyelidikan Dr Justin dengan kerjasama Universiti Santiago, Chile sebahagiannya dibiayai oleh geran penyelidikan daripada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) selama tiga tahun bermula tahun ini.
Dr Justin pernah melakukan penyelidikan di Antartika pada tahun 2018 bagi program penyelidikan musim panas selama tiga bulan.
Terdahulu kerjasama penyelidikan dengan Universiti Santiago itu adalah untuk meningkatkan pembinaan kapasiti penyelidikan, khususnya mengenai pemodelan kimia atmosfera dan rangkaian penyelidikan akademik dan saintifik di peringkat antarabangsa.
YPASM akan mengadakan majlis pelepasan Dr. Justin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 19 Mac ini.-TVS