JAKARTA, 9 Mac: Sekurang-kurangnya 21 maut manakala 33 mangsa dipercayai hilang susulan tanah runtuh di wilayah barat kepulauan Riau di Indonesia.
Memasuki hari ketiga hari ini pasukan Badan SAR Nasional (BASARNAS) meneruskan usaha mencari dan menyelamat di lokasi.
Sementara itu, seluruh wilayah Kabupaten Natuna diisytiharkan darurat selama dua minggu bagi menangani bencana berkenaan.
Menurut Kepala Badan Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Leftenan Jeneral Suharyanto, pihaknya akan memaksimumkan pencarian bagi mengesan mangsa dalam kejadian tanah runtuh yang juga menimbus lebih 30 rumah dengan kedalaman empat meter.
“Usaha mencari mangsa yang hilang diutamakan oleh pasukan pencarian bersama sehingga tempoh isytihar kecemasan dan kami akan cuba sedaya upaya mencari mangsa walaupun berdepan dengan cabaran cuaca buruk,” katanya.
Beliau menambah, kekuatan pasukan SAR turut ditambah bagi mempercepatkan pencarian mangsa serta anjing pengesan turut dikerahkan dalam operasi itu.
Pihak BNPB juga melaksanakan Teknologi Pengubahsuaian Cuaca (TMC) seketika ini bagi meminimumkan impak hujan sebagai inisiatif memudahkan proses mencari, menyelamat dan pemindahan mangsa.
Setakat ini, 1,216 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan susulan mereka ini kehilangan rumah selain mendapatkan rawatan dan logistik. – TVS