Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Dato Sri Fatimah Abdullah ketika berkunjung ke Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching, hari ini. Foto: Odleen Catherny (TVS)

Pusat transit bantu kerajaan tangani isu pemerdagangan manusia – Saifuddin

ByOdleen Catherny

KUCHING, 9 Mac: Usaha kerajaan Sarawak menyediakan premis transit seperti Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching telah membantu negara dalam menangani isu pemerdagangan manusia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, merujuk status Malaysia yang berada pada Tahap Tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022, komponen seperti premis transit boleh digunakan sebagai tempat perlindungan khususnya kepada individu yang tampil sebagai saksi.

Premis transit bantu kerajaan tangani isu pemerdagangan orang

“Sementara kita menguruskan mangsa pemerdagangan ini, kalau dia merupakan individu yang berpotensi sebagai saksi misalnya, jadi premis sebegini penting sebagai transit sekiranya saksi dalam proses menghadiri prosiding mahkamah dan sebagainya.

“Dengan adanya fasiliti seperti ini, ia sebenarnya mampu menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan kita.

“Kementerian Dalam Negeri memberikan perhatian serius kepada penyediaan aspek logistik seperti ini kerana akan membantu kami untuk memperbaiki peranan khususnya di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya ketika ditemui semasa lawatannya ke CSSC Kuching di sini, hari ini.

Turut mengiringinya ke CSSC ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Jelasnya lagi, ini menunjukkan bahawa Malaysia serius dan komited dalam membanteras aktiviti pemerdagangan manusia.

Beliau menambah, peranan premis transit amat penting, sementara premis tetap diusahakan dalam rancangan jangka panjang kerajaan.

Jelasnya, setiap negeri di Malaysia kini lengkap dengan premis transit. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan