KUALA LUMPUR, 9 Mac: Program Operator Perkhidmatan (IKHSAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan memberi peluang kepada miskin tegar dan B40 melaksanakan kerja pembersihan di bangunan kerajaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, IKHSAN mempunyai serampang dua mata iaitu kementeriannya mahu memastikan bentuk – bentuk perkhidmatan dalam sistem kerajaan seperti kerja pembersihan dan penjagaan tandas awam tidak perlu melalui kontraktor.
Katanya, apabila kerja berkenaan diserahkan kepada kontraktor, akan berlaku kegiatan pengambilan keuntungan.
“Ini menyebabkan gaji yang diterima pekerja rendah dan melalui IKHSAN, kita akan pastikan tugas – tugas ini diserahkan kepada penerima miskin tegar dan B40 yang berdaftar di bawah IPR,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan R. Yuneswaran (Pakatan Harapan – Segamat) yang bertanya bagaimana IPR dapat membantu isi rumah B40 dan miskin tegar menjana pendapatan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata kerajaan akan menambah pendapatan peserta IKHSAN supaya mereka menerima pendapatan RM2,000 sebulan dalam tempoh dua tahun.
“Usaha – usaha yang dilaksanakan akan bantu tarik lebih ramai kumpulan sasar (sertai IPR) dan peserta diwajibkan sertai koperasi di setiap kawasan,” katanya.
Sementara itu, Rafizi turut memaklumkan sejak dilancarkan, seramai 24,000 kumpulan sasar memohon untuk menyertai IPR.
“Pendaftaran sentiasa bertambah dan kita berharap mencapai sasaran ditetapkan mengikut perangkaan rasmi 130 000 keluarga miskin tegar, (kerajaan) meluaskan program ini melalui tawaran kepada B40,” katanya. -TVS