SARATOK, 9 Mac: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis sedan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Sarikei ke Betong, pada Rabu.
Insiden kira-kira jam 10.22 malam itu mengakibatkan mangsa, Kamarudin Halik, 28, yang merupakan juruteknik Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Polis (DSP) Mordani Tanin berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Betong menghala ke Sarikei.
“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kenderaan terbabit masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki berkenaan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Beliau berkata, susulan kemalangan itu, kereta terbabit rosak teruk di bahagian hadapan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian juga mengakibatkan lori mengalami kerosakan pada bahagian hadapan kiri namun pemandunya yang berusia 33 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – TVS