KOTA KINABALU, 9 Mac: Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) akan menyelaraskan pelaksanaan projek bernilai di bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah melalui agensi berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyelarasan itu bertujuan bagi memastikan rakyat Sabah dapat merasai kemajuan dengan segera.
“Kita melakukan penyelarasan terhadap pelaksanaan program-program projek melalui peruntukan yang diluluskan pada 24 Februari lalu.
“Kita juga telah kenal pasti dan persetujui untuk kita koordinasikan pelaksanaan peruntukan bersama kerajaan negeri Sabah membabitkan projek bernilai RM50 juta ke bawah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata ketika sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Rabu.
Dalam masa sama beliau berkata, kementeriannya juga akan memastikan hasrat kerajaan negeri itu agar tiga daerah termiskin di negeri itu dapat dibangunkan dari segi infrastuktur dan prasarana dapat direalisasikan.
“Saranan Ketua Menteri Sabah untuk KKDW membantu tiga daerah termiskin iaitu Pitas, Kota Marudu dan Tongod keluar dari kelompok miskin tegar akan dilakukan melalui perbincangan bersama Kementerian Ekonomi dan Kewangan bagi merealisasikan perkara itu,” katanya.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, kerajaan juga akan memfokuskan kepada pembangunan penanaman padi di Sabah ke arah memastikan bekalan makanan utama itu sentiasa terjamin.
“Kita akan mengadakan perbincangan agar ladang padi dapat diwujudkan di Sabah bagi menentukan bekalan makanan utama itu terus terjamin untuk keperluan tempatan sekali gus Sabah berupaya menjadi pengeluar padi pada masa akan datang,” katanya lagi. – TVS