KUCHING, 9 Mac: Persepsi negatif terhadap menderma darah akan memberi kesan sampingan kepada fizikal penderma harus dikikis segera daripada minda segelintir masyarakat.
Persuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri menegaskan aktiviti berkenaan merupakan satu amalan murni kerana ia akan dapat membantu menyelamatkan nyawa persakit yang dirawat di hospital.
Menurutnya, penderma darah secara sukarela dan berterusan secara tidak langsung akan menyumbang bekalan darah yang stabil, selamat dan berkualiti kepada Pusat Darah Negara.
“Kita sering kali didedahkan dengan berita-berita yang dikaitkan dengan kemalangan, kebakaran, pembedahan dan kisah-kisah pesakit seperti kanser, Thalesemia, leukemia dan sebagainya.”
“Termasuklah kemajuan dalam perubatan yang memberikan harapan baharu kepada pesakit-pesakit untuk menjalani rawatan pemindahan organ.”
“Setiap pemasalahan kesihatan ini memerlukan pemindahan darah dan oleh itu sumbangan dan keprihatinan orang ramai untuk menderma darah amatlah diharapkan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak di sini.
Menurut Mohd Azman lagi, selain membantu menyelamatkan nyawa insan lain, menderma darah juga akan meningkatkan tahap kesihatan khususnya dalam kalangan anggota polis.
“Ini kerana untuk menjadi seorang penderma darah, individu atau anggota terlibat mestilah memiliki tubuh badan yang sihat selain turut bebas daripada sebarang penyakit untuk melayakkan mereka menjadi penderma darah.”
“Menyedari hakikat ini saya menegaskan di sini bahawa menderma darah seharusnya menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat khasnya warga Polis Diraja Malaysia PDRM.”
“Tanpa sokongan orang ramai adalah mustahil pihak Pusat Darah Negara dan lain-lain tabung darah di seluruh negara berupaya menyediakan bekalan darah yang secukupnya bagi menampung keperluan yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya.
Program Derma Darah Sempena Hari Polis Ke-216 hari ini telah dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Umum Sarawak.-TVS