KUCHING, 9 Mac: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun bagi menyokong inisiatif Kuching sebagai bandar raya pintar.
SMA dalam satu kenyataan berkata kerjasama di bawah ASEANSmart City Network (ASCN) dan program Smart Japan-ASEAN Mutual Partnership (SmartJAMP) itu dilakukan menerusi sesi perkongsian dan pembangunan kapasiti indvidu dari masa ke semasa.
Sehubungan itu, Kaunselor Strategi Global MLIT Kakishita Yoshihiro, Pengarah Rundingan Antarabangsa, Bahagian Polisi Antarabangsa dan Biro Dasar MLIT Iwatu Wataru dan Ketua Pegawai Bahagian Dasar Antarabangsa dan Biro Polisi MLIT Tomohiro Kinoshita pada Rabu berkunjung ke pejabat SMA yang diwakili Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat SMA Mohamad Irtdizar Razali.
Dalam mesyuarat itu, SMA telah diberi taklimat mengenai inisiatif bandar pintar di Jepun yang mungkin boleh dilaksanakan di Sarawak.
“Perkongsian maklumat dan pembinaan kapasiti memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan penyelesaian relevan dari Jepun untuk meningkatkan inisiatif Bandar Pintar dan Ekonomi Digital di Sarawak selain Smart City, bidang teknologi baharu turut disentuh seperti analisis ‘Big Data’ dan keupayaan ramalan serta ‘blockchain’,” kata kenyataan itu.
Pertemuan itu turut membincangkan kerjasama lanjut dan langkah ke hadapan berikutan kajian yang dijalankan oleh Perkhidmatan Kejuruteraan dan Perundingan Telekomunikasi Jepun (JTEC) dengan SMA yang melibatkan beberapa agensi kerajaan antara tahun 2021 dan 2022 di bawah program JAMP Pintar. – TVS