KUCHING, 8 Mac: Golongan wanita merupakan tonggak dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran pembangunan keluarga, masyarakat dan negara adalah seimbang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sambutan Hari Wanita Sedunia adalah untuk mengiktiraf dan menghargai jasa yang telah diberikan kaum wanita.
“Wanita pada hari ini bukan sahaja bergelar isteri atau ibu, tetapi juga wanita bekerjaya dan salah satu penggerak utama kepada pembangunan negara. Ia sejajar dengan tema #KasihWanita seperti yang dihasratkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, wanita sentiasa berusaha untuk memelihara keharmonian keluarga selain menitikberatkan akhlak mulia dalam pembangunan masyarakat setempat.
Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) memilih tema Kasih Wanita yang bertepatan dengan peranan golongan ini yang sentiasa mencurahkan kasih sayang. – TVS