Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kekecohan di Dewan Rakyat tercetus selepas Ahli Parlimen Pendang diarahkan keluar dewan selama dua hari. Foto tangkap layar sidang parlimen.

Parlimen: Pendang digantung selama dua hari

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim digantung selama dua hari daripada menghadiri Sidang Dewan Rakyat.

Tindakan itu diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu mengganggu sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ini menyebabkan beberapa ahli parlimen PN bangun mempersoalkan keputusan itu dan tercetus kekecohan membabitkan wakil rakyat pembangkang dan penyokong kerajaan.

Sebelum itu Rafizi ketika membuat penggulungan berkata, perkara yang paling banyak disentuh dalam perbahasan melibatkan Kementerian Ekonomi ialah pembangunan di antara wilayah dan peruntukan kepada negeri – negeri pembangkang yang didakwa tidak adil.

“Daripada 51 perkara yang sentuh (mengenai) kementerian saya, majoriti perkara ini, saya hendak beri secara terperinci peruntukan yang diluluskan untuk negeri – negeri ini, saya mohon supaya kita sama – sama memahami,” katanya.

Pada ketika ini, Awang bangun untuk mencelah namun tidak diberikan ruang oleh Rafizi.

Mohd. Sany Hamzan (Pakatan Harapan – Hulu Langat) kemudian meminta supaya Awang tidak menggangu Rafizi untuk meneruskan penggulungan dan meminta Johari mengarahkan Ahli Parlimen Pendang itu keluar dewan.

Awang yang tidak berpuas hati kemudian mengecam Mohd. Sani dengan mengatakan beliau bukan Speaker serta tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang ekonomi.

Rafizi kemudian meneruskan ucapan dengan menerangkan jenis belanja pembangunan dan menjelaskan kerajaan terpaksa menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), penghapusan hutang Felda  yang dimasukkan dalam belanja pembangunan.

Rafizi berkata, daripada jumlah RM97 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 untuk pembangunan, hanya 55 peratus untuk tujuan sebenar manakala lebih 50 peratus lain akibat bebanan hutang disebabkan tata kelola yang salah.

Pada ketika ini, Awang kemudian bangun mencelah tanpa kebenaran dengan mengatakan tata kelola salah yang dikatakan Rafizi itu berlaku ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan serta pentadbiran ‘rakan’ Rafizi.

Secara sinis Rafizi meminta wakil rakyat Pas itu mencari menteri lain yang sedang melakukan penggulungan sekiranya mahu menjadi badut sekali gus menyebabkan kekecohan tercetus.

Asakan berterusan Awang menyebabkan beliau akhirnya diarahkan keluar dewan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan