Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Misteri kehilangan MH370, keluarga mahu pencarian baharu dilakukan selepas 9 tahun tragedi

ByReuters

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 menggesa kerajaan Malaysia pada Ahad untuk membenarkan firma penerokaan dasar laut Amerika Syarikat, Ocean Infinity untuk melakukan pencarian baharu bagi pesawat yang hilang secara misteri itu sembilan tahun yang lalu.

Nasib pesawat MH370 menjadi salah satu misteri penerbangan terbesar di dunia apabila ia hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Baca artikel berkaitan >>>>> Pencarian MH370 tidak akan dihentikan – Loke

Pada 2018, Malaysia telah menggunakan Ocean Infinity untuk mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi, menawarkan untuk membayar sehingga US$70 juta jika ia menemui pesawat itu, namun pesawat itu gagal dijumpai.

Pencarian firma itu dilakukan selepas Malaysia, China dan Australia menamatkan pemburuan bawah air yang berjumlah US$135.36 juta (RM610.26 juta) selama dua tahun pada Januari 2017 selepas tidak menemui pesawat itu.

Pada hari Ahad, Voice370, iaitu kumpulan keluarga kepada penumpang pesawat MH370 itu berkata, Ocean Infinity berharap untuk memulakan pencarian baharu seawal musim panas ini dan menggesa kerajaan Malaysia untuk menerima sebarang cadangan daripada firma itu atas dasar bayaran bersyarat, supaya firma hanya akan dibayar jika berjaya.

“Sejak 12 bulan lalu Ocean Infinity telah menemui banyak perkembangan baharu selepas berusaha bekerja dengan ramai orang untuk lebih memahami… peristiwa itu pada 2014,” kata Voice370 dalam satu kenyataan, susulan acara peringatan menandakan tahun kesembilan sejak kehilangan MH370.

“Pada dasarnya, ini telah meningkatkan peluang mereka untuk menjalankan misi pencarian yang berjaya.”

Ocean Infinity dan Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak segera menjawab permintaan untuk memberikan komen.

Namun, dalam mesej yang dibacakan kepada keluarga penumpang pesawat pada acara peringatan itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berikrar tidak akan ‘menutup buku’ mengenai MH370, sambil menambah bahawa pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada pencarian masa depan jika terdapat maklumat baharu dan boleh dipercayai mengenai lokasi pesawat itu.

Serpihan yang disahkan atau dipercayai dari pesawat MH370 telah hanyut di pantai Afrika dan di pulau-pulau di Lautan Hindi.

Penyiasat Malaysia sebelum ini tidak membuat sebarang kesimpulan tentang apa yang berlaku di dalam penerbangan itu, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa pesawat itu telah sengaja dibawa keluar daripada laluan penerbangannya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan