KUCHING, 8 Mac : Perkembangan Revolusi Industri 4.0 memberi kesan secara langsung terhadap pelbagai bidang yang turut membabitkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak menekankan TVET bagi menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
“Menjelang tahun 2030, Sarawak akan menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan.
“Oleh itu, terdapat keperluan untuk melahirkan bakat yang amat diperlukan bagi menyokong inisiatif ini melalui graduan TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis pada Persidangan TVET BIMP-EAGA di sini, hari ini.
Abang Johari berkata lagi, TVET akan melengkapkan tenaga kerja di Sarawak dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan selaras dengan keperluan semasa dan masa depan pelbagai sektor industri.
Seramai 450 delegasi dari Malaysia, Filipina, Brunei dan Indonesia dengan 24 penceramah menghadiri persidangan yang berlangsung dua hari itu.
Turut hadir, Pengerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain. – TVS