KUCHING, 8 Mac: Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak diingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin serta tingkah laku terutamanya ketika menjalankan tugas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato’ Mancha Ata dalam ucapannya menegaskan, mana-mana anggota polis yang didapati melakukan jenayah atau pelanggaran disiplin akan dikenakan tindakan tegas.
“Penting bagi anggota PDRM sentiasa menjaga perilaku dan mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Sebarang kelakuan jenayah atau perangai disiplin akan dikenakan tindakan tegas, pihak PDRM tidak akan berkompromi kepada segelintir mereka yang ingkar dan menjatuhkan imej anggota polis.
“Kita tidak mahu majoriti anggota polis terpalit dengan sikap yang dilakukan bagi segolongan anggota PDRM yang tidak menyayangi pasukannya,” katanya sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar anggota PDRM sebagai barisan hadapan bersiap sedia dalam menghadapi perubahan cuaca dan sebarang kemungkinan terhadap bencana alam yang akan berlaku.
“Saya ingin berpesan kepada seluruh anggota PDRM khasnya di Sarawak ini untuk meningkatkan penjagaan kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat, lebih-lebih lagi dengan ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi dengan tugasan yang cukup mencabar.
“Perkara ini memerlukan kita untuk memiliki tubuh badan yang sentiasa sihat dan fikiran yang cergas bagi melancarkan tugasan seharian. Itu yang diharapkan seluruh warga PDRM bagi mengambil cakna akan kesihatan masing-masing dengan melakukan saringan kesihatan awal untuk kita bersama-sama menjaga kualiti kesihatan warga PDRM,” katanya lagi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai dan staf IPK Sarawak atas perkhidmatan yang cemerlang.
Turut hadir bersama Senior Assisten Komisioner merangkap Ketua Cawangan Khas PDRM Kontinjen Sarawak, Mohd Taufik Toh Abdullah dan Senior Assisten Komisioner merangkap Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Kontinjen Sarawak, Lukas Aket.-TVS