KUCHING, 8 Mac: Guru yang menolak lantikan untuk berkhidmat di Sarawak wajar dikenakan tindakan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurutnya, sebagai penjawat awam, mereka sepatutnya sudah sedia maklum dengan garis panduan ditetapkan.
“Apabila mereka memohon untuk menjadi seorang guru atau sedang dalam latihan, sudah tentu ada syarat dan garis panduan yang perlu mereka patuhi.
“Jika mereka tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka mereka perlu berhadapan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menerima tindakan sewajarnya kerana mereka sepatutnya berkhidmat untuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) BIMP-EAGA di sini, hari ini.
Seramai 222 daripada 3,227 guru “one-off” yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lepas, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen yang disiarkan media memaklumkan 3,227 guru “one-off” itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara “Contract of Services (CoS)” yang ditempatkan di Sarawak.
Sementara itu, berhubung keutamaan pengambilan guru dalam kalangan anak jati Sarawak berkhidmat di negeri sendiri pula, Francis berkata, jika ada yang berkelayakan mereka boleh mengisi kekosongan.
“Perkara ini, kita selalu bincangkan dan kita akan usahakan untuk memenuhi nisbah 90:10. Tetapi masalahnya, kita belum mempunyai guru yang cukup berkelayakan untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya. – TVS