KUCHING, 7 Mac: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menegaskan pengambilan guru dalam kalangan anak jati Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini harus diutamakan.
Presidennya, Kullin Djayang, berkata cadangan berkenaan antara alternatif bagi mengelak peluang penempatan di negeri ini tidak diabaikan seperti yang berlaku ketika ini.
“Anak Sarawak yang memohon ke Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dipertimbangkan untuk bertugas di negeri kelahiran mereka sendiri.”
“Ini kerana mereka akan lebih mudah mengadaptasikan diri dengan keadaan sekeliling termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.”
“STU sentiasa menekankan tentang pengagihan 1,500 orang guru baharu menjelang pembukaan sekolah Mac ini bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak dan ia memerlukan kerjasama dari pihak Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masalah tersebut ujarnya perlu diberi perhatian oleh KPM sekali gus membendung masalah kekurangan guru di Sarawak.
Dalam pada itu, Kullin mengulas berhubung keingkaran lebih 200 guru tidak melaporkan diri atau menolak tawaran setelah diberi penempatan ke Sarawak merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta mereka harus dikenakan tindakan tegas.-TVS