KUALA LUMPUR, 7 Mac: Kerajaan Persekutuan digesa supaya segera menyambung perlaksanaan projek-projek kesejahteraan rakyat yang tertangguh di Sarawak.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, ketika ini, terdapat banyak projek pembangunan yang telah mendapat kelulusan tetapi pelaksanaannya sangat perlahan.
“Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran supaya projek di bawah RM50 juta boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Namun kita perlu perhalusi kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu pelaksanaan projek-projek lama yang tidak dilaksanakan sebelum ini supaya ia dapat disegerakan,” katanya ketika ditemui TVS, di sini, hari ini.
Willie berkata, antara projek yang lewat dilaksanakan termasuklah pembinaan jambatan dan jalan raya.
Kata beliau, sekiranya dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja merugikan rakyat Sarawak malahan kos perlaksanaan di peringkat kerajaan pusat juga akan meningkat.
“Begitu juga dengan Belanjawan 2023 yang sudah diluluskan, ia memakan masa dua hingga tiga bulan sebelum dana itu disalurkan kepada negeri,” katanya.
Tambah Willie, apabila projek yang sudah diluluskan tidak dilaksanakan sebelum Disember, peruntukan akan dipulangkan semula kepada Kerajaan Persekutuan.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar dana berkenaan disalurkan kepada tabung amanah kerajaan negeri dapat menguruskan dan melaksanakan projek-projek yang tertangguh secara berterusan,” katanya. -TVS