KUALA LUMPUR, 7 Mac: Sabah dan Sarawak berada pada kedudukan strategik untuk ‘mewakili’ Malaysia dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, inisiatif BIMP-EAGA itu juga bakal menyaksikan peranan besar yang boleh dimainkan oleh dua wilayah Malaysia di Borneo itu.
Kata Anwar, menerusi rundingan beliau bersama Presiden Indonesia, Jokowi dan Presiden Filipina, Bong Marcos sempena lawatan rasminya baru-baru ini, perkara itu telah ditekankan.
“Jika kita tekankan, maknanya kalau ikut geopolitik dan strateginya, maka Sabah dan Sarawak itu lebih utama.
“Jadi bila saya bicarakan soal Sabah dan Sarawak ini, ia tidak terikat kepada pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara tetapi dengan kekuatan dan beberapa inisiatif yang lebih ke depan oleh kerajaan negeri,” katanya di Parlimen hari ini.
Justeru, menurut Anwar, beliau yakin Sarawak akan menjadi pemangkin pertumbuhan kawasan BIMP-EAGA yang lebih menarik.
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan sedang menyelaraskan kegiatan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak dengan bantuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kata beliau, sebagai permulaan, peruntukan RM1 bilion disalurkan khusus untuk sempadan melibatkan infrastruktur asas, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), pos kawalan dan kuarters imigresen terutamanya di Sarawak yang lebih dekat dengan IKN Nusantara.
Sementara itu, Anwar berkata, Sarawak telah mendahului dalam beberapa bidang seperti kenderaan elektrik (EV), hidrogen, ammonia dan turut mengadakan kerjasama dengan syarikat Petronas.
“Itu nampak (Sarawak) mendahului, negeri yang paling ke depan dalam merangka strategi dan melaksanakannya, jadi perkara ini sangat membanggakan.
“Begitu juga apabila melibatkan soal petrokimia, oleokimia, farmaseutikal, pengajian tinggi, kesihatan dan ini semua tidak hanya terikat dengan sempadan IKN Nusantara,” katanya. -TVS