Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (empat, kiri) menyantuni mangsa banjir sewaktu melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Kota Dalam semalam. Foto Bernama.

Parlimen: Pembekal makanan ke PPS turut terjejas banjir

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Banjir di Johor yang berlaku secara serentak di 10 daerah menyebabkan pelbagai pihak terjejas termasuk pembekal makanan yang dilantik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bencana itu turut mengakibatkan beberapa kawasan terputus hubungan khususnya di Segamat dan Kluang.

“Ini menyebabkan pembekal makanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dilantik juga terjejas serta berdepan dengan isu tenaga kerja yang tidak mencukupi kerana pekerja turut menjadi mangsa.

“Selain itu, isu logistik seperti terputus hubungan jalan ke PPS turut menghadkan capaian mereka untuk menghantar bekalan makanan bermasak,” katanya pada Sidang Parlimen hari ini.

Berkenaan aduan kualiti dan kelewatan penghantaran makanan di PPS yang kurang memuaskan, Nancy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak segera meneliti perkara itu.

Jelas beliau, aduan berkenaan berasas dan JKM telah memberikan teguran tegas kepada pembekal-pembekal makanan yang dilantik supaya memperbaiki perkhidmatan mereka.

“JKM akan menamatkan perkhidmatan pembekal yang tidak memperbaiki mutu atau kualiti perkhidmatan mereka,” katanya.

Berhubung barang asas seperti toto dan selimut di Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Muar yang berkurangan, Nancy memaklumkan perkara ini berlaku kerana jurang masa antara bencana banjir yang sedang melanda ketika ini dengan bencana banjir yang berlaku pada Januari lepas amat singkat.

“Sebilangan besar bekalan telah digunakan semasa banjir pada Januari dan belum sempat ditambah,” katanya.

Katanya, perolehan baharu pula perlu memenuhi prosedur dan tatacara perolehan kerajaan seperti tender terbuka yang mengambil masa yang panjang.

“(Bagaimanapun) JKM telah menggerakkan stok tambahan dari DSKB dari Kedah, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka pada 2 Mac 2023 dan sehari selepas itu, barangan diagihkan secara berperingkat ke semua daerah yang terjejas,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan