MIRI, 7 Mac: Kerajaan Sarawak akan menaik taraf dan menstruktur semula Mahkamah Bumiputera Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Jefferson Jamit Unyat.
Katanya, kajian dijalankan oleh pihak konsultan telah siap dan pihak mereka akan memajukan rekomendasi tersebut kepada Kabinet Negeri.
“Meskipun peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai Pegawai Pengetua akan dipinda dan dikaji semula peranan mereka sebagai penjaga adat-adat kaum Bumiputera tetap kekal dan mengikut arus pembangunan negeri,” katanya semasa Majlis Makan Malam sempena lawatan ke Mahkamah Bumiputera Bahagian Miri semalam.
Beliau berkata, di bawah Pelan Transformasi Mahkamah yang dicadangkan, ada kemungkinan peranan KMKK di bawah undang-undang mahkamah yang baharu akan dipinda dan fungsi undang-undang sekarang sebagai Pegawai Pengetua dikaji semula.
“Perkara yang tidak berubah ialah peranan KMKK sebagai penjaga yang memelihara, mempromosi dan melindungi adat-adat kaum Bumiputera agar adat-adat tersebut kekal dan berkembang mengikut zaman dan arus pembangunan negeri Sarawak. Semua ini akan dimaklumkan kepada kita semua selepas keputusan dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya.
Untuk pengetahuan umum di bawah sistem Mahkamah Bumiputera Sarawak, KMKK yang dilantik oleh kerajaan diberi tugas dan tanggungjawab statutori atau diberi kuasa perundangan di bawah Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 untuk menyelesaikan pertikaian atau kes-kes berkaitan pelanggaran adat dan undang-undang Bumiputera bagi kaum masing-masing sebagai Pegawai Pengetua di Kot Penghulu dan Kot Pemanca. -TVS