KOTA KINABALU, 7 Mac: Sabah FC meneruskan momentum kemenangan tiga kali berturut-turut dalam saingan Liga Super 2023 selepas menewaskan Kuching City FC dengan jaringan 2-1 pada perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.
Pengendali Skuad Badak, Datuk Ong Kim Swee berkata, hujan tanpa henti memberikan cabaran ke atas permainan ditambah lagi dengan keadaan padang yang kurang sesuai memaksa pemain kedua-dua pasukan banyak melakukan hantaran jauh antara satu sama lain.
“Bagi saya perlawanan ini hanya membuktikan tentang kesungguhan keinginan kedua dua pasukan dari Borneo mahu memenangi perlawanan, sekali gus mengutip mata penuh,” katanya pada sidang media selepas perlawanan..
Katanya, Kuching City FC yang tewas dengan jaringan 5 gol kepada pasukan Selangor sebelum ini kembali dengan corak permainan yang begitu agresif.
“Bagi saya para pemain saya menunjukkan komitmen yang cukup tinggi bermain dalam keadaan padang yang begini di mana kita harus fikirkan sama ada apakah ini bagus untuk bola sepak ataupun adakah ini akan memberi kecederaan pada para pemain,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berkata, faktor padang yang becak tidak boleh dijadikan alasan permainan kurang baik.
“Pada saya jika diambil faktor padang, kedua-dua pasukan bermain di atas padang yang sama. Untuk jadikan alasan padang ini sebagai tidak dapat bermain dengan baik itu saya rasa kita tidak patut gunakan alasan itu.
“Pada saya Sabah menggunakan peluang yang ada, cuma kami ada sedikit kesilapan, kelekaan telah memberi peluang kepada pasukan Sabah untuk menjaringkan gol,” katanya.
Sulaiman berkata, kekalahan tersebut tidak membantutkan persiapan pasukan untuk perlawanan akan datang.
“Satu perubahan positif yang kita tengok daripada pasukan Kuching City FC adalah kemampuan mereka untuk bersaing. Kalau kita tengok atas kertas Sabah dengan barisan yang baik, tapi Kuching walaupun kalah, berjaya mempamerkan permainan yang cukup baik.
“Sabah dapatkan dua peluang mereka gunakan, kami ada beberapa peluang yang tidak kami gunakan, kami terimalah kekalahan untuk malam ini,” katanya. -TVS