Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan kerja baik pulih jalan balak itu perlu dimulakan sebelum tiba perayaan Krismas tahun ini. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Lebih 500km jalan balak utara Sarawak dibaik pulih – TPM

ByOdleen Catherny

KUCHING, 7 Mac: Lebih 500 kilometer (km) jalan raya di kawasan utara Sarawak yang pernah digunakan sebagai laluan kerja-kerja pembalakan sebelum ini akan dibaiki menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan kerja baik pulih itu perlu dimulakan sebelum tiba perayaan Krismas tahun ini.

“Jalan-jalan ini yang telah rosak akibat aktiviti pembalakan sebelum ini dan tidak lagi digunakan untuk tujuan itu perlu mula dibaiki sebelum perayaan Krismas menjelang tahun ini untuk mengelak kerja-kerja terganggu kerana musim tengkujuh.

“Mengikut angka yang dilaporkan, ia membabitkan jalan sejauh 578km setakat ini. Ia perlu dinaik taraf sebagai jalan utama untuk ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kerajaan Sarawak bagi tahun 2023 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaksanaannya akan dilakukan oleh pihak KKDW bersama kerajaan negeri.

Katanya lagi, keutamaan kedua akan diberikan kepada jalan raya yang masih aktif dilalui oleh kenderaan berat bagi aktiviti pembalakan.

Tambahnya, penambahbaikan jalan raya itu memberi fokus kepada pembinaan jalan di bawah Projek Jiwa Murni, jalan-jalan di kawasan pembalakan termasuk projek-projek jalan luar bandar yang telah dirancang.

“Pendekatan untuk menaik taraf  jalan raya akan dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak sendiri. Ini termasuk beberapa garis panduan membabitkan penerima tender yang mana kita akan ikut penanda aras yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Penanda aras ini akan dijadikan panduan oleh KKDW untuk dilaksanakan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di wilayah dan negeri-negeri lain,” ujarnya lagi.

Selain itu katanya, pelaksanaan kerja-kerja itu akan dipantau oleh jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh KKDW dan juga kerajaan Sarawak sebagai pihak yang melakukan tindakan susulan jika perlu.

“Ini terutamanya bagi projek yang sudah dirancang sekian lama namun pelaksanaannya tidak dapat dilakukan kerana terdapat keperluan untuk mengadakan koordinasi. Kami komited memastikan pelaksaannya dan bersedia untuk melakukan perbincangan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sekiranya terdapat elemen penambahan kos,” jelasnya.

Beliau berkata, garis panduan projek akan terus dipatuhi namun pihaknya juga akan melakukan beberapa permohonan kelulusan khas disebabkan oleh peningkatan kos bahan-bahan binaan serta isu logistik bagi membawa bahan-bahan itu ke kawasan pedalaman.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi.

Sementara itu, inisiatif menaik taraf jalan raya itu merupakan projek yang akan dilaksanakan dalam kategori prasarana di bawah KKDW dengan jumlah peruntukan bernilai RM649.67 juta.

Menerusi kenyataan yang dikongsi kepada media, peruntukan pembangunan KKDW di Sarawak bagi tahun 2023 berjumlah RM917.75 juta.

“Bilangan program mahupun projek yang terkumpul adalah sebanyak 241 yang mana 38 merupakan projek baharu dan 203 adalah projek sambungan.

Kos keseluruhan peruntukan bagi semua projek tahun ini adalah RM13.49 bilion. Sejumlah RM1.35 bilion untuk projek-projek baharu manakala RM12.14 bilion untuk projek yang disambung,” jelas kenyataan itu lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan