KUCHING, 7 Mac: Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak bercadang untuk bekerjasama bagi memperkasakan industri keusahawanan dalam kalangan golongan belia di negeri ini.
Kata sepakat itu dicapai menerusi pertemuan antara Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim, dan Pengarah Bahagian Pentadbiran SKM Sarawak, Norazlan Anuar, di sini, pada Ahad.
Menurut kenyataan KOBIS hari ini, pertemuan berkenaan bertujuan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan inisiatif yang boleh dilakukan dalam menerajui bidang keusahawan dan pembangunan belia menerusi program latihan kemahiran.
“Kami percaya dengan kerjasama dan potensi KOBIS dan SKM, ia mampu untuk mempromosikan pembangunan dan keusahawanan belia di Malaysia terutama sekali di Sarawak.”
“Kami juga berharap agar komitmen ini mampu untuk menjalin hubungan yang kukuh dan mampu untuk memberi keuntungan pada masa akan datang.” kata Zaiwim Kassim dalam kenyataan terbabit-TVS