BINTULU, 6 Mac: Ciptaan inovatif melalui penghasilan ‘Papan Tanda Berhenti’ membawa tuah kepada pasukan ‘The Creative Cop’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)) Bintulu apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kontinjen Sarawak baru-baru ini.
Pasukan The Creative Cops berjaya memikat juri pertandingan melalui penghasilan ciptaan mereka memaksa pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak melalui ciptaan mereka iaitu ‘Vehicle Emergency Kit’ (VEK) berpuas hati di tempat kedua manakala IPD Song ditempat ketiga dengan inovasi mereka dinamakan ‘Pam Minyak Gear Box’.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, kerjasama dan semangat kerja berpasukan merupakan tunjang yang membawa kepada kemenangan pasukan IPD Bintulu untuk menjuarai pertandingan tersebut.
“Semangat kerjasama yang dimiliki pegawai dan anggota dalam pasukan kami merupakan tunjang kejayaan kami dan saya rasa ‘The Creative Cops’ mampu menyerlah sekali lagi dalam pertandingan yang seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pasukan IPD Bintulu akan mewakili Kontinjen Sarawak pada pertandingan KIK Polis Diraja Malaysia yang bakal berlangsung di Terengganu pada Julai tahun ini.
“Saya kagum dengan kemenangan pasukan kami kerana penilaian pada KIK ini dibuat oleh juri profesional,” ujarnya.
Katanya, penilaian juga menitikberatkan keberkesanan hasil rekacipta atau produk, selain pengeluarannya yang mengambil kos efektif juga diambil kira.
Pertandingan akhir KIK Peringkat Kontinjen Sarawak yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 3 Mac lalu turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri.
Seramai 10 kumpulan telah dipilih dalam kelayakan pertandingan akhir KIK tersebut. -TVS