Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga dari kanan) hadir pada sidang media di Parlimen hari ini. Foto Firdaus Ismail(TVS)

RM64.2 juta laksana inisiatif atasi kesesakan di Tambak Johor – Fadillah

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan lebih RM64.2 juta bagi melaksanakan beberapa inisiatif baharu dalam usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikannya pada hari ini.

Kata Fadillah, kos berkenaan akan digunakan untuk penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan baharu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) berdasarkan beberapa pecahan.

“Ini termasuk penggabungan Dewan Penumpang Bas di KSAB, Gelang Patah dengan anggaran kos RM25 juta dan menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baharu di Zon Lori Masuk dan Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan anggaran kos RM30.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Parlimen selepas mempengerusi mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, Fadillah memaklumkan, peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk kerja – kerja menaik taraf serta pembinaan baharu kemudahan awam di terminal bas dengan anggaran kos RM8.6 juta serta bagi Pelan Komunikasi Strategik berjumlah RM3.83 juta.

Mengenai usaha lain untuk mengatasi masalah kesesakan di pintu masuk negara itu, Fadillah berkata, mandat telah diberikan kepada urus setia bagi melancarkan urusan keluar masuk Malaysia dengan Singapura.

“Kita telah tempatkan agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya di Singapura seperti yang dilaksanakan untuk pengembara yang ingin keluar masuk menggunakan kereta api,” katanya.

Katanya, ketika ini kaedah berkenaan hanya digunakan untuk pengembara yang menggunakan kereta api termasuk di sempadan Malaysia dengan Thailand.

“Secara prinsipnya, cadangan untuk menggunakan kaedah sama bagi pengangkutan darat lain akan dibawa ke Kabinet.

“Jawatankuasa teknikal ini akan berbincang dengan Singapura sama ada boleh dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama Fadillah berkata, beliau yakin sekiranya perkara itu mendapat persetujuan bersama oleh kedua – dua negara, kaedah berkenaan akan memudahkan pergerakan keluar masuk Malaysia dengan Singapura. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan