KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kerosakan di Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun di Bintulu, Sarawak tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam, Sidang Parlimen dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, masalah berkenaan dikenal pasti akibat kenderaan lebih muatan yang menggunakan laluan berkenaan.
Kata beliau, kerosakan jalan tetap akan berlaku walaupun kerja – kerja pembaikan telah dilaksanakan.
“Satu penyelesaian menyeluruh perlu melibatkan semua pihak terutamanya pihak Kementerian Pengangkutan bagi mencari penyelesaian kepada penggunaan kenderaan lebih muatan.
“Ini seterusnya mengurangkan isu kerosakan jalan disebabkan oleh lebihan muatan dan dalam jangka masa panjang mengurangkan kos penyenggaraan yang semakin tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodiyah Sapiee (Gabungan Parti Sarawak – Batang Sadong) yang ingin tahu pencapaian terkini pelaksanaan dasar ‘Zero Potholes’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 56, 553 jalan berlubang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berjaya ditampal pada tahun lepas.
“Keseluruhan potholes tersebut telah berjaya ditampal dalam tempoh 24 jam bagi Semenanjung Malaysia manakala bagi Sabah, Sarawak dan WP Labuan hanya 431 pothole tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam dengan peratusan pencapaian adalah sebanyak 99.24,” katanya. -TVS