KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang membina dua hentian Rehat dan Rawat (R&R) untuk kemudahan pengguna Lebuhraya Pan Borneo (LPB), Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pembinaan itu membabitkan satu hentian di Jelukong, Lubok Antu dan satu lagi di hentian sebelah di Sungai Semanok, Bintulu.
Katanya, kemudahan itu disediakan membabitkan laluan LPB di antara bandar Sibu dan Bintulu.
“Selain bertujuan untuk menyediakan kemudahan asas kepada pengguna jalan raya untuk berehat dan solat, usahawan tempatan boleh menjana pendapatan dengan mengusahakan kemudahan kedai makan dan pasar tamu di R&R tersebut.
“Kita sebenarnya menyediakan kawasan R&R ini adalah untuk menyediakan beberapa kawasan medan selera yang mana kita akan menyediakan lebih kurang lapan ruang gerai makanan dan kedai serbaneka.
“Sebanyak 144 tempat duduk disediakan serta ruang untuk pasar tamu bagi 30 orang peniaga menjual hasil-hasil pertanian produk tersebut di kawasan layby termasuk kawasan solat,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan Edwin Banta (Gabungan Parti Sarawak – Selangau) berkenaan dengan perancangan kementerian untuk menyediakan kawasan rehat di sepanjang LPB khususnya di antara Bandar Sibu dan Bintulu.
Sementara itu Abdul Rahman turut memaklumkan, satu layby di Lambir, Miri sedang dalam pembinaan.
“Setelah pembinaan keseluruhan tiga R&R ini, kita dapati penyelenggaraan fasiliti-fasiliti ini akan diselenggarakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana ini merupakan kawasan lebuhraya yang tidak bertol,” katanya. -TVS