KUALA LUMPUR, 6 Mac: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen digesa supaya membuat permohonan maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana mendakwa gabungan empat parti politik itu gagal memperjuangkan hak Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan berkenaan yang dibuat dalam dewan yang mulia.
Katanya, dakwaan itu boleh dipersoalkan memandangkan Sarawak mendapat peruntukan yang lebih tinggi dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meningkatkan peruntukan kepada Sarawak kepada RM5.6 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2020.
“Tambahan lagi Sarawak kini menerima RM300 juta berbanding RM32 juta di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini menggambarkan GPS berjaya meyakinkan Kerajaan Persekutuan untuk beri peruntukan yang lebih baik,” katanya pada Sidang Parlimen di sini hari ini.
Sehubungan itu, Rodiyah meminta Chieng Jen supaya memohon maaf kepada Pengerusi GPS, semua Ahli Parlimen GPS dan rakyat Sarawak.
“Perpaduan yang dibina harus terus disuburkan untuk pertahankan keutuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya. -TVS