KUCHING, 6 Mac: Hasrat Kuching City FC untuk mencipta kemenangan kedua dalam saingan Liga Super 2023 tidak kesampaian selepas tewas 1-2 ketika menerima kunjungan Sabah FC di Stadium Negeri di sini, malam ini.
Menurut Penolong Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin, meskipun pasukan dari Sarawak itu tampil sebagai pasukan baharu dalam kempen Liga Super pada musim ini, beliau tetap memberikan pujian terhadap anak-anak buahnya yang telah memberikan tentangan hebat kepada pasukan pelawat.
“Pada saya para pemain telah memberikan aksi yang terbaik, Sabah telah memanfaatkan peluang yang ada sebaliknya kami gagal menyempurnakan peluang.
“Kekalahan ini tidak akan menjejaskan persiapan kami untuk menghadapi perlawanan yang seterusnya,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan antara Kuching City FC menentang Sabah FC di Stadium Negeri.
Pada perlawanan itu Sabah FC telah merobek gawang tuan rumah pada minit ke -23 menerusi pemain kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani.
Sebelum tamat babak pertama Kuching City berjaya mengikat kedudukan apabila penjaring terbanyak Liga Perdana musim lepas, Abu Kamara berjaya menghadiahkan gol pada minit ke- 45+2.
Sabah tidak mengambil masa yang lama untuk menambah luka tuan rumah apabila sekali lagi menjaringkan gol menerusi pemain import, Telmo Castanheira.
Keputusan 1-2 kekal hingga wisel penamat menyaksikan Kuching City FC kini menduduki tangga ke- 8 liga sementara Sabah berada di kedudukan kedua berkongsi mata dengan gergasi JDT. -TVS