KUCHING, 6 Mac: Dua sahabat merangkul gelaran johan dan naib johan program Ujian Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Hafazan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada Ahad.

Al-Awwal Azshaly,11, dan rakannya Muhammad Abqary Ian Mohamad Asri,9, telah berjaya menewaskan lima peserta lain bagi kategori hafazan peringkat sekolah rendah.
Al-Awwal ketika ditemui pemberita malam tadi mengakui meminati terhadap bidang hafazan Al-Quran dan bercita-cita untuk menjadi seorang Hafiz Al-Quran sejak enam tahun lalu.
“Saya mula menghafaz Al-Quran sejak berusia 7 tahun dan dilatih oleh ayah saya setiap hari.
“Setiap hari saya akan berlatih menghafaz Al-Quran 1 hingga 2 jam” katanya.
Al-Awwal juga mengakui lebih gemar menghafaz Al-Quran berbanding melakukan perkara lain selain bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara, rakannya, Muhammad Abqary Ian pula berkata dirinya redha mendapat tempat kedua dan berjanji akan mempersiapkan dirinya dalam pertandingan sama pada tahun hadapan.
Program tahunan yang diadakan malam tadi merupakan ilham dari Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok selama lapan penggal sebelum ini.
Menurut ADUN Satok Dato Ibrahim Baki, Abang Johari meminta agar ADUN di kawasan tersebut selepas beliau meneruskan tradisi dan amalan pertandingan tersebut setiap tahun.
Katanya lagi Premier Sarawak itu mahukan kawasan Satok terus diterangi ‘cahaya Islam’ kerana kawasan itu berada ditengah-tengah bandar raya Kuching.
“Pertandingan pada tahun ini sebenarnya adalah yang telah dirancang sejak 2019 lalu namun disebabkan Covid-19 kita terpaksa menangguhkannya.
“Alhamdulillah, keadaan sekarang semakin reda, jadi kita adakan semula pertandingan ini,” katanya di Majlis Penangguhan program tsemalam.
Hadir sama Pengerusi Biro Agama Satok Hilmy Othman, Pengerusi UjianTilawah Al-Quran dan Hafazan DUN Satok Ali Sujang dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Pengelola Ujian Tilawah Al-Quran DUN Satok Abdul Samat Gany. -TVS