LIMBANG, 6 Mac: Seorang wanita yang tidak mengetahui mereka ‘berjiran’ dengan tebuan selaama ini telah menyedari kehadiran serangga berkenaaan yang kelihatan berterbangan di kediaman mereka di Perumahan Rangau, pada Ahad.
Bimbang akan keselamatan dirinya dan keluarga wanita berusia 23 tahun itu menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang untuk memusnahkan sarang tebuan berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata empat anggota dikerah ke lokasi untuk khidmat memusnahkan sarang serangga sebaik menerima panggilan jam 5.55 petang.
“Sebaik tiba di lokasi penghuni berkenaan yang mengatakan telah terlihat lebah berterbangan di kawasan perumahan terbabit,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Mirwan, hasil pemantauan di lokasi anggota menemui sarang tebuan berada di hadapan sebuah rumah yang tidak dihuni berhampiran rumah pengadu.
Sejurus itu, sarang yang berukuran lebih kurang sebesar tong sampah hitam berjaya dimusnahkan dengan teknik semburan racun serangga sebelum dibakar. – TVS