KUCHING, 5 Mac: Cadangan penubuhan Pusat Jagaan Kanak-kanak di pejabat seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 mampu memberikan keyakinan kepada golongan ibu untuk kembali bekerja.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, penyediaan inisiatif seperti itu akan membantu ibu-ibu yang ingin bekerja semula namun kesuntukan masa dan wang.
“Sukar bagi mereka (wanita) kembali bekerja kerana tiada yang dapat menjaga anak-anak.
“Jadi ini adalah satu inisiatif yang bagus sebagai program sokongan yang membolehkan mereka kembali bekerja,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Kerjaya Wanita Sarawak 2023 Siri 1 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2023 yang diperuntuk kepada golongan wanita dan kanak-kanak.
Tambahnya, ibu yang mempunyai anak kecil juga dapat melawat dan menyusu anak-anak mereka.
“Kami sangat berterima kasih kerana dengan adanya Taska di tempat kerja, agak senang untuk ibu-ibu kita meninggalkan anak mereka sebentar untuk bekerja,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangannya pada Belanjawan 2023 lalu meminta majikan untuk turut bertanggungjawab dalam penyediaan Pusat Jagaan Kanak-kanak di pejabat.
Katanya, insentif cukai sedia ada dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos bagi menyediakan Pusat Jagaan Kanak-kanak di pejabat. – TVS