Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama peserta Bengkel Lakonan Karakter Building dan Aksi Lasak di Kampung Budaya Sarawak di Santubong, hari ini. Foto: TVS

Wajib sedia insurans keselamatan pelakon, kru produksi – FINAS

KUCHING, 5 Mac: Semua penerima Dana Kandungan Digital (DKD) Perbadanan Filem Nasional (FINAS) diwajibkan untuk mendapatkan insurans perlindungan keselamatan pelakon dan kru produksi yang terlibat pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim berkata, perkara itu penting bagi menjamin keselamatan para pelakon serta kru sekali gus melindungi mereka dari kesan jangka panjang sekiranya berlaku kemalangan semasa penggambaran.

Selain insurans, Mohd Nasir berkata, FINAS turut mewajibkan penerima dana untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Perbelanjaan tersebut katanya, perlu dimasukkan sekali dalam permohonan DKD bagi membolehkan FINAS untuk mengeluarkan dana tambahan.

“Kami (FINAS) prihatin mengenai perkara ini, kerana kita tidak mahu insiden sama (kemalangan) berulang, sebab berlakon bukan satu pekerjaan (tetap), kalau kita tidak menjaga kebajikan mereka dengan betul ia akan menjejaskan masa depan pelakon.

“Sebagai contoh kalau tidak ada insurans dan seorang pelakon itu mendapat kemalangan semasa berlakon dan tidak dapat berlakon lagi kerana tidak dilindungi insurans, maka bayangkanlah masa depan pelakon tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sijil Bengkel Lakonan Karakter Building dan Aksi Lasak di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong hari ini.

Sehubungan itu, bakal-bakal penerbit diingatkan untuk memberi tumpuan kepada perlindungan dan keselamatan pelakon dan kru produksi dengan membelikan mereka insurans.

“Perkara ini sangat penting dan serius, kerana di Malaysia kadang-kadang untuk aksi lasak, penerbit yang ingin merealisasikan filem kadang- kadang tidak mengambil berat tentang keselamatan.

“Kadang-kadang kita tidak ambil berat kerana tiada peraturan undang-undang untuk mengawal penerbit supaya mewajibkan perlindungan insurans untuk semua pelakon dan kru,” katanya.

Baru-baru ini katanya pelakon, Fasha Sanda mengalami kecederaan di bahagian mata selepas kemalangan semasa sesi penggambaran filem di Perlis. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan