KUCHING, 5 Mac: Penggiat seni lakonan di Sarawak perlu memanfaatkan peluang serta platform yang kini tersedia dalam melahirkan artis tempatan yang berbakat.
Mengakui ruang yang terhad sebelum ini, Pengarah dan Pengurus Projek Bengkel Lakonan Karakter Building dan Aksi Lasak, Nordin Wahab berkata, ia menyukarkan anak seni tempatan Sarawak untuk mendapat tempat dalam industri.
Justeru kata Nordin, penganjuran bengkel membina karakter dalam lakonan memainkan peranan penting dalam mendedahkan para pelakon untuk menguasai teknik dengan berkesan.
“Bengkel ini saya akan cuba sebaik mungkin dalam filem nanti bagi mencapai hasrat untuk melahirkan artis tempatan Sarawak yang boleh popular di Semenanjung, itu hasrat Perbadanan Filem Nasional (FINAS) sebab sebelum ini banyak bengkel dibuat tetapi kita tidak nampak.
“Sampai bila kita hendak membuat cerita Sarawak tetapi orang Kuala Lumpur yang berlakon kata Cikgu Tai masa di TVS dulu, jadi anda semua ada bakat cuma peluang kurang, sekarang peluang sudah ada, gunakannya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sijil Bengkel Lakonan Karakter Building dan Aksi Lasak di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong hari ini.
Bengkel yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak (KBS) itu disertai seramai tujuh peserta, mereka didedahkan dengan latihan aksi lasak yang dipimpin oleh pelakon lasak terkenal tanah air, Yang Kassim.
Menurut Nordin, pihaknya mahu melahirkan lebih ramai artis yang berbakat, berilmu, berdisiplin dan peka seni.
Tanpa elemen penting tersebut, tegasnya keberadaan artis dalam industri mungkin tidak akan bertahan lama. – TVS