KUCHING, 5 Mac: Aksi longlai dan kurang konsisten di sepanjang perlawanan menjadi punca Sarawak United FC tewas di tangan Harini FT 0-3 dalam perlawanan pertama saingan Liga M3 2023, semalam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, itu menyaksikan skuad kendalian S. Balachandaran diasak bertubi-tubi pasukan lawan sejak wisel permainan dibunyikan.
Harini FT yang diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan, antaranya Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen Zambri, S. Chanturu, Nasir Basharudin dan Hafizul Hakim tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan di setiap posisi.
Gawang gol Sarawak United FC bocor pada minit ke-36, apabila Fikri Mohamed Shah mudah menyempurnakan peluang terhidang ketika skuad Bujang Senang berusaha mengimbangi saingan.
Memasuki babak kedua, Pravin dan bekas penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri menambah luka Sarawak United FC menerusi jaringan masing-masing pada minit ke-53 dan ke-74.
Selepas ini, Sarawak United FC dijadualkan akan berkunjung ke Pulau Pinang bagi bertemu Bukit Tambun FC dalam perlawanan kedua saingan Liga M3 2023.
Untuk rekod, Sarawak United FC tidak dapat beraksi pada saingan Liga Super 2023 selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan disebabkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022. – TVS