KUCHING, 5 Mac: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu bertembung dengan kereta Perodua Myvi di Jalan Keranji, Batu Kitang-Bau petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Ismajulian ak Julia, 34, yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 6.49 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi kejadian.
“Empat orang mangsa yang berada dalam kereta Perodua Myvi cedera dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Bau oleh Unit EMRS Bomba untuk rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan kereta Perodua Kelisa tersebut datang dari arah Bau manakala kereta Perodua Myvi datang dari arah Kuching.
Operasi tamat pada jam 8.01 malam. – TVS